Rabu, 28 Julai 2010
Harimau dan Tikus
Permainan Tradisional
Sekarang saya hendak tunjuk filem P. Ramli klasik tentang mencari cucu...
Isnin, 26 Julai 2010
Bengkel Membuat Batik
Selepas bengkel itu kami menaipkan kosa kata yang boleh kami gunakan dalam karangan. Cikgu menggunakan 'wordle' untuk mengumpul semua perkataan-perkataan itu.
Rabu, 21 Julai 2010
Permainan Congkak
Permainan congkak ialah sejenis permainan Melayu tradisional yang digemari oleh kaum wanita dan kanak-kanak. Permainan ini memerlukan dua orang pemain.Alatan yang digunakan dalam permainan ini adalah papan congkak dan buah congkak. Kadang-kadang sebagai ganti papan congkak, lubang-lubangnya dibuat di atas tanah. Sementara biji-biji congkak pula ialah guli-guli kaca, buah getah, biji saga, batu-batu kecil dan sebagainya. Setiap papan congkak hanya boleh dimainkan oleh dua orang sahaja.Papan congkak mengandungi 14 lubang yang dipanggil "kampung". Terdapat dua lubang besar di setiap hujung papan congkak. Lubang ini dipanggil "rumah".
cara-cara untuk bermain congkak
Permainan ini dimulakan serentak dengan memasukkan sebiji "buah" ke dalam setiap "kampung" sendiri dan seterusnya masukkan ke dalam "rumah". Seterusnya "buah" hendaklah dimasukkan ke dalam "kampung" lawannya. Jika ia singgah di kampung lawan yang tidak ada buah ia dikira mati. Jika buah terakhir singgah di kampung lawan yang mempunyai buah, maka ia boleh meneruskan permainan. Jika ia mati di kampung sendiri, bertentangan dengan kampung lawan yang mempunyai buah, ia berhak mengambil buah lawannya itu. Sekiranya ia mati di kampung sendiri setelah melalui kampung lawan dan didapati di kampung lawan tidak ada buah, maka ia mati dalam kerugian. Di akhir permainan buah hanya tinggal beberapa biji sahaja dalam kampung masing-masing. Mereka dikehendaki berjalan tapak secara serentak menuju ke arah rumah masing-masing. Sekiranya salah seorang kehabisan buah dalam kampung ianya dikira kalah.
Selasa, 20 Julai 2010
Permainan layang-layang
Pengenalan
Permainan layang-layang amat digemari oleh penduduk-penduduk kampung. Permainan ini dimainkan sejak kurun ke 15. layang-layang masih digemari dan dimainkan di kawasan-kawasan seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
layang-layang dicipta dalam pelbagai bentuk dan mempunyai nama tersendiri seperti layang-layang burung, layang-layang pari, layang-layang katak, layang-layang bayan, layang-layang merak, layang-layang kucing, layang-layang jala budi, layang-layang lenggang kebayan, layang-layang sewah dan layang-layang barat. Begitupun layang-layang bulan sangat digemari oleh orang Melayu. Reka corak biasanya bermotifkan awan larat akan menghiasi kebanyakan layang-layang yang dihasilkan dan diwarnakan dengan pelbagai warna. Selain dijadikan bahan permainan, layang-layang juga menjadi hasil kraftangan dan hiasan dinding.
Cara-cara untuk bermain permainan layang-layang
Pada kebiasaannya layang-layang akan dimainkan oleh dua orang iaitu seorang akan memegang layang-layang dan seorang lagi yang dipanggil juru anjung akan memegang tali. Apabila angin bertiup maka tali akan ditarik melawan arus angin dengan cara menghulur dan menarik talinya sehinggalah wau tersebut tinggi di udara. Kilauan cahaya matahari akan menambah cantik lagi layang-layang yang berwarna-warni itu.
Lihatlah, layang-layang yang saya buat dengan emak saya.
Permainan gasing
Gasing popular di Pantai Timur Semenanjung Malaysia terutama di Kelantan. Terdapat pelbagai jenis gasing di Malaysia seperti gasing jantung, gasing piring atau leper, gasing kelamar, gasing telur, gasing berembang, gasing Melayu, gasing Cina, gasing buku benang dan gasing pinang. Kanak-kanak lebih gemar dengan gasing Melayu dan Cina, kerana saiz yang kecil dan mudah dipermainkan.
Cara-cara untuk bermain permainan gasing
Gasing dimainkan dengan dua cara, iaitu sebagai gasing pangkah atau gasing uri. Gasing pangkah, dimainkan dengan melemparkannya supaya mengetuk gasing lawan. Gasing uri dipertandingkan untuk menguji ketahanannya berpusing.Gasing pinang pula dimainkan oleh kanak-kanak. Buah pinang muda dikupaskan sabut dan kulitnya, dipangkaskan bahagian atas dan bahagian bawahnya, kemudian dicucukkan lidi buluh melalui pulurnya menjadi paksi serta pemegang gasing itu.Gasing ini boleh dilagakan atau diurikan.Untuk memusingkan gasing, tali setebal 1.75 cm dan sepanjang 3 hingga 5 meter dililitkan pada jambulnya hingga meliputi seluruh permukaan gasing. Kemudian gasing itu dilemparkan ke atas tanah dan serentak dengan itu tali yang melilit jambuhnya direnggut.
permainan batu seremban
Batu Seremban juga dikenali sebagai permainan Selambut atau Serembat. Sering dimainkan di waktu lapang.Permainan ini dimainkan oleh kanak-kanak perempuan sama ada secara individu atau berpasangan. Ianya dimainkan secara berkumpulan seramai dua hingga empat orang atau lebih.
Biasanya ia menggunakan guli kaca, biji getah, ketul batu yang kecil atau ketulan-ketulan objek lai berbentuk bulat. Bilangan yang biasa digunakan sebanyak lima biji. Objek-objek ini dikenali sebagai buah.
Cara-cara untuk bermain permainan batu seremban
Dalam bermain Batu Seremban ini terdapat beberapa peringkat atau cara sambutan buah yang berlainan. Bermula dengan peringkat pertama yang mudah dengan menggunakan sebiji buah yang dinamakan sebagai buah satu hinggalah kepadaperingkat lebih tinggi atau peringkat yang teratas dinamakan buah tujuh.
Isnin, 19 Julai 2010
pantun nasihat & pantun keagamaan
pantun nasihat
Ha, saya ada dua contoh untuk pantun nasihat.
1. Kayuh basikal perlahan-lahan,
sambil melihat awan yang berlalu.
Makanlah sayur dan buah-buahan,
agar kita jadi sihat selalu.
2. Monyet bergayut di atas pokok,
diganggu pula si orangutan.
Janganlah sekali cuba merokok,
rokok membahayakan kesihatan.
Pantun bukan sahaja untuk bersenda-loka,namun pantun juga boleh memberi tunjuk ajar dan nasihat. Maklumlah,kita sesama manusia harus saling ingat-memperingati.
pantun keagamaan
1. Rama-rama hinggap diatas pohon,
terbang riang cantik warnanya.
Biarpun hidup seribu tahun,
kalau tak solat apa gunanya.
2. Pelbagai rasa,warna dan cara,
resipi lama Baba dan Nyonya.
Rukun Islam lima perkara,
Marilah kita mengamalkannya.
Setakat di sini dahulu ya,kawan-kawan. mata saya sudah mengantuk ni.
Moga-moga saya dapat idea untuk mencipta pantun melalui mimpi saya nanti :)
Selamat malam.....
Ahad, 18 Julai 2010
Permainan Sepak Raga
Pengenalan
Permainan sepak raga telah sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka. Pada masa itu permainan ini dimainkan oleh golongan bangsawan.Rakyat Biasa juga menggemari permainan ini. Pada masa sekarang sepak raga lebih dikenali dengan nama sepak takraw. Ia bukan hanya dimainkan oleh orang Melayu sahaja tetapi bangsa-bangsa lain, malah telah dikenali di seluruh.
Bola sepak raga diperbuat daripada bilah-bilah rotan yang dianyam bulat seperti raga sebesar isi buah kelapa dua atau tiga lapis.
Cara-cara untuk bermain permainan sepak raga
Permainan ini dimulakan dengan salah seorang pemain melambung bola kepada rakannya dengan tangan. Rakannya itu akan menimang bola itu dengan kakinya sekali atau beberapa kali, sebelum menendangnya ke arah pemain lain. Pemain-pemain yang membentuk lingkungan atau bulatan itu mestilah bergilir-giliran menimang bola itu dan mengawalnya supaya tidak jatuh ke bumi. Jika bola itu jatuh, permainan dalam pusingan tersebut ditamatkan.
Khamis, 15 Julai 2010
Pantun Jenaka
Berjumpa lagi di alam siber...
Hari Jumaat hampir tiba. Bagaimana kawan-kawan,sudah ada perancangan untuk hujung minggu nanti? Jika tidak,saya syorkan anda ke khutubkhanah untuk meminjam buku tentang pantun-pantun Melayu..
Hari ini saya akan bawa anda untuk menikmati pantun-pantun jenaka. Pantun jenaka dicipta oleh masyarakat Melayu untuk berhibur. Misalnya,ia diguna untuk usik-mengusik sesama teman.
Pantun berikut ciptaan asli saya,sekaligus percubaan yang pertama dalam pantun jenaka.
Pergi ke bandar jauh melangkah,
Kaki terluka mengalir darah.
Datuk ketawa berdekah-dekah,
Melihat nenek berginju merah.
Berjalan sendiri tiada halangan,
Air hujan jatuh ke pipi.
Lipas gembira bertepuk tangan
Cicak berenang di lautan kopi
Hah! Terhibur dengan pantun saya? Esok,sempena hari Jumaat yang mulia, InsyAllah saya akan berkongsi pula pantun nasihat dan sedikit pantun keagamaan. Jangan lupa esok kembali ke mari ya.
“Jaga Diri,Hiasi Peribadi..”
Rabu, 14 Julai 2010
Pantun teka-teki.
Selasa, 13 Julai 2010
Mulakan dahulu dua baris isi pantunnya, seperti:
Saya budak baru belajar
Kalau salah tolong tunjukkan
Selepas itu tulislah sampirannya. Biasanya sampiran itu berupa peristiwa sehari-hari. contoh:
Buah cempedak di luar pagar
Ambil galah tolong jolokkan
Pantun yang telah disusun seperti ini:
Buah cempedak di luar pagar
Ambil galah tolong jolokkan
Saya budak baru belajar
Kalau salah tolong tunjukkan
Saya percaya,jika ada minat dan kemahuan,anda pasti dapat mencipta pantun yang indah..
Selamat mencuba!! :)